SELAYANG: Pegawai polis wanita yang videonya tular baru-baru ini tiba di Mahkamah Selayang, pagi ini bagi tuduhan mengugut dan mengaibkan.

'Inspektor Sheila' yang ditemani peguamnya M Manoharan, hanya tersenyum dan mengucapkan 'selamat pagi' kepada pemberita dan jurugambar yang berkumpul di perkarangan mahkamah sejak jam 8 pagi.

Dia yang memakai sut hitam, dijangka berdepan tiga pertuduhan iaitu satu tuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan) dan dua tuduhan mengikut Seksyen 509 kanun sama (mengaibkan).

Media difahamkan, pendakwaan akan dijalankan di dua mahkamah majistret berasingan.

Jika sabit kesalahan, tuduhan ugutan boleh membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali manakala bagi kesalahan mengaibkan pula, memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sebelum ini, 'Inspektor Sheila' dikecam oleh netizen susulan dua klip video masing-masing berdurasi 24 dan 10 saat dimuat naik di media sosial Khamis lalu yang memaparkannya mencemuh seorang lagi anggota berpangkat lans koperal dalam kejadian sekitar Gombak, Selangor.

Susulan itu, polis Selangor memanggil pegawai wanita terbabit untuk dirakam keterangan sebelum ditahan berhubung kejadian berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Laporan media sebelum ini turut menyebut polis mengesahkan menerima laporan kejadian pegawai polis wanita yang dikenali sebagai 'Inspektor Sheila' yang bertengkar dengan orang awam di parkir pusat beli-belah di Brickfields, di sini.